nuffnang ads

Follow Us Thanks!

Tuesday 8 September 2015

ZULFADLI TOLAK TAWARAN SERTAI BAM



Pemain perseorangan lelaki negara Zulfadli Zulkiffli tidak berminat menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan lebih selesa meneruskan program latihan dikendalikan bapanya, Zulkiffli Sidek. Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata perkara itu dimaklumkan oleh Zulkiffli pada Ahad lepas, selepas perbincangan bersama Zulfadli dan bapanya selaku jurulatih, dijalankan Khamis lepas. 

"Bapanya yang mewakili Zulfadli menghubungi saya memaklumkan pada masa ini, beliau tidak dapat menerima cadangan itu (menyertai BAM). Beliau memohon maaf kerana ketika ini, telah mempunyai program latihan khusus untuk Zulfadli melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. 

"Buat sementara, dia (bapanya) berpandangan bahawa biarlah Zulfadli meneruskan program yang disusun...sudah separuh jalan, untuk melayakkan diri ke Rio," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini. 

Ahmad Shapawi berkata MSN menerima secara terbuka keputusan itu, dan tidak akan mengadakan sebarang perbincangan lanjut, sama ada dengan pihak Zulfadli mahupun BAM berhubung perkara berkenaan. Zulfadli, 22, yang berada di ranking ke-36 dunia, bergerak secara sendirian tanpa bernaung di bawah BAM, mempamerkan aksi meyakinkan pada penampilan di Kejohanan Badminton Dunia 2015 di Jakarta pada Ogos lepas, apabila menyingkirkan pemain nombor enam dunia, Chow Tien Chendari dari Taiwan pada pusingan pertama kejohanan itu. 

Juara remaja dunia 2011 itu, kemudian menewaskan lawannya dari Ireland, Scott Evans pada pusingan kedua sebelum tewas pada pusingan ketiga di tangan Wei Nan dari Hong Kong. Berikutan itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin men­ca­dangkan agar Zulfadli mempertimbangkan cadangan menyertai BAM agar bakatnya dapat dikembangkan dengan lebih terancang. 

Cadangan itu turut disuarakan oleh jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dan bekas jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek yang melihat bakat pemain itu boleh dikembangkan sekiranya dia bersama BAM, yang memiliki kemudahan latihan sempurna, selain dapat menyediakan rakan pelatih kepada Zulfadli. MSN kemudian mengambil inisiatif bertemu Zulfadli dan bapanya untuk membincangkan cadangan berkenaan. 

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata pada pertemuan itu, Zulfadli dan bapanya diberikan penjelasan mengenai program latihan yang disediakan di MSN, BAM serta Institut Sukan Negara (ISN) dan mereka meminta untuk diberikan masa sehingga Ahad lepas, untuk mempertimbangkan perkara itu. 

"MSN bukan mahu campur tangan dalam hal BAM dan Zulfadli. Sebagai pihak yang prihatin dengan cadangan dizahirkan oleh banyak pihak, tidak salah untuk MSN cuba mendengar pandangan Zulfadli. 

"Perbincangan lanjut hanya akan diteruskan dengan BAM jika Zulfadli berminat. Ini bukan proses di mana kita mahu campur tangan, tapi prosedur biasa yang selalu kita buat dengan sukan-sukan lain jika berkeperluan," katanya. 

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata MSN tidak akan membiayai program latihan Zulfadli kerana MSN hanya bekerjasama dengan persatuan sukan untuk sebarang aktiviti atau program latihan atlet di bawah naungan mereka. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bersama Persatuan Sukan Kebangsaan, berkata pada masa ini juga, BAM masih belum menyenaraikan nama Zulfadli dalam program untuk Sukan SEA 2017.

Petikan dari: stadiumastro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...