nuffnang ads

Follow Us Thanks!

Wednesday 7 December 2011

Review Ombak Rindu Filem Air Mata


EMPAT buah filemnya sebelum ini iaitu Bukak Api, Puaka Tebing Biru, Anak Halal dan Cun! memperlihatkan kehebatan Osman Ali dalam menghasilkan lakon layarnya selain menjadi pengarah.

Kesemua filem tersebut meninggalkan kesan tersendiri dan mendapat tempat di kalangan penonton mahupun pengkritik, sekali gus meletakkan Osman sebagai salah seorang pengarah hebat di negara ini.

Namun, sebagai pengarah, Osman sentiasa mahu mencabar dirinya dan menongkah arus dengan mencuba sesuatu yang baru.

Atas alasan itulah, kata Osman, dia mengambil keputusan untuk menduduki kerusi pengarah dan mengarahkan filem Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama hasil karya penulis popular, Fauziah Ashari.

Walaupun Ombak Rindu bukan karya asalnya, tetapi kata Osman, dia tidak mahu perkara itu dijadikan sebagai satu alasan untuk tidak menghormati dan menjadikan karya itu seperti naskhahnya sendiri.

Mengakui begitu mengagumi penceritaan Ombak Rindu, Osman begitu teruja untuk mengarahkan filem tersebut dengan barisan pelakon yang menjadi idamannya untuk menzahirkan watak-watak penting dalam novelnya.

“Apabila tawaran yang diberikan oleh Tarantella Pictures untuk mengarahkan filem Ombak Rindu, saya melihatnya sebagai peluang terbaik saya untuk meneroka cabang baru sebagai seorang pengarah.

“Apatah lagi kalau dilihat kepada industri perfileman tempatan ketika ini, memang jarang sekali novel diadaptasi ke layar perak.

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah untuk menghubungi penulis asal novel ini dan berkongsi cerita dengannya agar saya mendapat gambaran dengan lebih jelas lagi tentang Ombak Rindu.

“Walaupun saya sudah membacanya tetapi sebagai pengarah, saya menghormati dan perlu mendapat restu Fauziah selaku penulis naskhah Ombak Rindu,” jelas Osman dalam sidang akhbar usai majlis pratonton filem Ombak Rindu di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Osman yang mula dikenali dengan filem kontroversi, Bukak Api pada tahun 2000 itu memberitahu sebagai pengarah, dia juga telah melakukan rombakan kepada skrip asal yang ditulis oleh Armantono dari Indonesia.

Selepas berbincang dengan penerbit, Sharad Sharan yang bersetuju dan memberikan lampu hijau kepada Osman untuk mengolahnya, dia merombak skrip asal tersebut agar disesuaikan dengan konteks masyarakat tempatan.

“Apabila membaca skrip asal, saya melihat banyak perkara dan senarionya yang kurang sesuai dengan masyarakat serta budaya tempatan. Begitu juga dengan watak-wataknya yang saya olah agar ia menjadi lebih dekat dengan audiens kita.

“Apa yang penting untuk saya adalah untuk mencintai setiap satu karakter dalam filem ini agar jiwa mereka dapat dizahirkan menerusi pembawaan watak masing-masing.

“Walaupun karakter dan watak itu bukan hasil ciptaan saya, tetapi sebagai pengarah, saya harus berbuat demikian untuk mendapatkan kesan yang lebih mendalam,” ujar Osman yang baru diiktiraf sebagai Pengarah Filem Terbaik bagi filem Cun! pada Anugerah Skrin 2011, baru-baru ini.

Rombakan juga, jelas Osman bukan hanya terletak kepada jalan cerita tetapi watak-wataknya juga. Dalam konteks itu, Osman memberikan contoh watak Izzah lakonan Maya Karin di mana watak asalnya digambarkan sebagai seorang wanita yang tidak bertudung.

Tetapi selepas diteliti dan dia sendiri mahukan sesuatu yang berbeza dalam dimensi lakonan Maya, dia mengubah watak itu menjadi sebaliknya.

Begitu juga dengan watak Hariz dan Mila yang dibawakan oleh Aaron Aziz dan Lisa Surihani yang sememangnya menepati jiwa Osman serta berjaya menzahirkan emosi seperti mana yang dikehendakinya.

“Saya sendiri mahu bekerja dengan pelakon yang belum pernah saya bekerjasama sebelum ini. Ternyata percaturan saya dan penerbit memilih barisan pelakon Ombak Rindu benar-benar berjaya,” ujar anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah itu optimis.

Selain Maya, Aaron dan Lisa, Ombak Rindu turut dibintangi Bront Palarae, Normah Damanhuri, Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Delimawati, Julia Ziegler dan Kamarool Yusof.

Luahan rasa Fauziah

Pada sidang akhbar itu juga, pihak media telah dikejutkan dengan pengakuan Fauziah selaku penulis asal Ombak Rindu yang turut hadir pada majlis tersebut.

Sewaktu ditanya pendapatnya tentang hasil kerja Osman dan filem Ombak Rindu secara keseluruhannya, secara tiba-tiba dia meluahkan isi hatinya.

“Sebagai penulis popular, saya akui memang tidak puas hati dengan filem ini. Apabila membaca novelnya yang memakan masa empat hingga lima jam, saya berasa tidak puas menonton filem ini.

“Sudah pasti saya mahu melihat semua cerita di dalam novel ini dizahirkan ke layar perak. Namun, semuanya itu tidak dapat dilakukan dan apa yang ditonjolkan dalam filem ini selama dua jam hanyalah sebahagiannya sahaja.

“Pengikut novel ini ramai dan mungkin mereka juga mahu melihat intipati cerita ini diceritakan semuanya di dalam versi filemnya.

“Cuma saya harap di masa akan datang, diharapkan penulis novel juga diberi peluang untuk melibatkan diri secara langsung apabila ada projek adaptasi novel ke filem,” jelasnya memberikan pandangan.

Alasan Sharad Sharan

Mengulas tentang luahan Fauziah itu, sebagai penerbit, Sharad mempunyai alasan tersendiri mengapa pihaknya tidak mahu melibatkan penulis novel dalam projek adaptasi itu.

Katanya, ada kala penulis tidak faham dengan proses adaptasi di mana kesemua cerita di dalam novel tidak boleh disumbatkan ke dalam filem yang hanya memakan masa sekurang-kurangnya dua jam.

Jelas Sharad lagi, ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan situasi seperti itu kerana sebelum ini filem Lagenda Budak Setan (LBS) juga mengalami masalah yang sama.

“Namun, Ahadiat Akashah selaku penulis, cepat sedar dan faham bahawa filem dan novel merupakan dua medium yang bermain dengan visual yang berbeza.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana proses adaptasi kerana ia bukan semudah yang disangka. Kalau dimasukkan semua cerita, ia akan menjadi panjang dan jika tidak kena caranya, ia boleh membuatkan penonton bosan,” katanya yang akan muncul dengan dua buah lagi filem adaptasi daripada novel iaitu Katerina dan Untuk Tiga Hari.

Mengulas tentang hasil kerja Osman pula, Sharad yang juga pengarah filem LBS dan Diva dengan jujur mengakui Ombak Rindu lebih hebat daripada LBS berdasarkan aspek pengarahan.

Katanya, pemilihan Osman adalah tepat dan tidak mustahil untuk pihaknya bekerja semula dengan pengarah itu dalam projek akan datang. -Petikan Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...